Umat Islam di Laos 10 Tahun yang Lalu


  Kutipan dari Berita Minggu Online

  

Umat Islam Laos mungkin pupus

SEWAKTU berkunjung ke bandar Vientiane – ibu negara Laos, baru-baru ini, wartawan Berita Minggu, Faizal Fadzil dan jurugambar A Bakar Onn, berkesempatan meninjau kehidupan umat Islam di negara itu. Apa yang menyedihkan, akidah umat Islam di Laos dikatakan mendapat ancaman yang serius. Berikut ialah catatan beliau.
Lengang…solat Jumaat di bandar ini selesai dalam masa 10 minit tanpa khutbah
KEBETULAN hari itu Jumaat dan kami menunaikan solat di Masjid Al-Azhar di Kampong Phon Punsawat, kira-kira tiga kilometer dari pusat bandar Vientiane.

Ketibaan kami di masjid itu, kira-kira 20 minit sebelum solat Jumaat, di sambut ruang kosong. Sementara menunggu jemaah lain, kami sempat meninjau ruang masjid itu yang hanya mampu memuatkan tidak lebih 60 atau 70 jemaah. Melihat keadaannya, masjid itu boleh dikatakan setaraf surau di Malaysia.

Selepas beberapa minit di masjid itu, muncul pula Naib Presiden Persatuan Umat Islam Kemboja di Laos, Yahya Ishak, 52 atau lebih mesra dipanggil “Pak Yahya” yang kami kenali menerusi Pengurus Kawasan Penerbangan Malaysia (MAS) di Vientiane, Ahmad Shukri Abdullah. Beliau membawa kami ke sana dengan kereta Proton Saga yang pertama tiba di negara itu.

Menjelang jam 1.30 tengah hari sebelum solat, hanya lebih kurang 30 jemaah hadir di masjid itu termasuk wanita dan kanak-kanak.

Bilangan itu agak kecil berbanding 200 hingga 300 umat Islam yang dikatakan berada di sekitar Vientiane. Dua tiga keluarga lagi boleh ditemui di bandar lain seperti di Savvanakhet dan Pakse lebih 500 kilometer di selatan negara itu.

Kebanyakan jemaah pada hari itu pula ialah rakyat Malaysia, Brunei, Indonesia dan Kemboja yang sudah lama menetap di Laos manakala umat Islam Laos sendiri hanya satu dua orang.

Kami diberitahu Vientiane cuma mempunyai dua masjid. Sebuah lagi – juga bertaraf surau kalau di Malaysia, terletak di tengah bandar Vientiane dan biasanya dikunjungi umat Islam bangsa lain termasuk India.

Apa yang memeranjatkan, solat Jumaat di bandar ini selesai dalam tempoh 10 minit tanpa sebarang khutbah yang dibaca baik dalam bahasa Kemboja, Laos atau Inggeris. Hanya beberapa potong ayat al-Quran dibacakan imam dari Kedutaan Brunei yang mengambil giliran pada hari itu.

“Khutbah ada kalanya dibaca dalam bahasa Laos. Tetapi ia bergantung kepada imam pada hari berkenaan,” kata Pak Yahya yang fasih berbahasa Melayu hasil pergaulan dengan kelompok rumpun bangsa Melayu.

Masalah guru dan imam bukan perkara kecil di Laos. Ketandusan golongan berkenaan menyukarkan Islam bertapak kukuh di negara itu.

“Kami tidak mengharapkan belas kasihan. Meskipun umat Islam di sini rata-rata berpendapatan rendah, tetapi kami tetap boleh hidup.

“Apa yang kami harapkan ialah ada negara Islam menghantar guru agama yang tetap bagi membolehkan masyarakat Islam di sini mempelajari agama dengan lebih sempurna.

“Jika tidak, lambat laun Islam di sini mungkin pupus,” kata Pak Yahya bagi menggambarkan keadaan umat Islam di negara itu ketika diwawancara di sebuah meja usang di luar masjid itu yang kos pembinaan bangunan tambahannya turut dibiayai kerajaan Malaysia.

Beliau turut ditemani Presiden Persatuan Islam Kemboja di Laos, Hakim Musa Abu Bakar, 75, dan beberapa umat Islam Kemboja lain di negara itu.

Justeru, sehingga hari ini umat Islam di negara itu amat bergantung kepada pengajian al-Quran dan fekah yang disampaikan Pak Yahya dan beberapa warga veteran Islam di Laos.

Selain itu, beberapa pendakwah Islam juga mengunjungi negara itu beberapa hari untuk menabur ilmu kepada masyarakat di sana bagi menyirami ketandusan yang wujud.

“Apa yang kami perlukan ialah guru agama yang boleh menetap lama di sini untuk mengajar Islam secara menyeluruh bagi membolehkan kami menghayati Islam sepenuhnya,” katanya.

Selama ini, masyarakat Islam Kemboja dan Laos hanya belajar mengaji dan sedikit fardu ain setiap minggu, mengadakan sambutan dua hari raya dan majlis kebesaran Islam seperti Maulud Nabi yang turut dimeriahkan dengan penyertaan umat Islam Malaysia, Indonesia dan Brunei di sini. Malangnya, keindahan itu tidak dihayati bersama masyarakat Arab.

“Mungkin mereka tidak tahu kewujudan kami di sini berbanding umat Islam di negara lain,” katanya ketika ditanya mengenai sumbangan umat Islam dari negara Islam di Timur Tengah yang kaya raya.

Ketiadaan guru agama yang berwibawa dan bertauliah di bandar itu menyebabkan umat Islam di Laos terbuka kepada ancaman akidah yang serius.

Ada kumpulan berlabelkan Islam, tetapi membawa fahaman dan pemikiran menyeleweng, tidak ketinggalan berusaha memesrai masyarakat Islam di Laos termasuk pengamal Aurat Muhammadiyah yang diharamkan di Malaysia pada 1995.

“Satu ketika dahulu golongan al-Arqam turut mahu mendekati masyarakat kami. Selepas beberapa hari mereka di sini, kami meragui apa yang ingin mereka sampaikan kerana ia memang jelas bertentangan dengan Mahzab Syafie dan Islam.

“Kami cepat-cepat meminta mereka pergi,” katanya yang sudah berbelas-belas tahun berhijrah ke Laos.

Berikutan masalah ini, Islam di negara itu juga sukar untuk berkembang meskipun pentadbiran Laos tidak mengganggu atau menghalang pertumbuhannya, malah menggalakkan umat Islam Laos menjalin hubungan dengan umat Islam negara lain.

“Ini mengurangkan bebanan mereka kerana bantuan kepada umat Islam datang dari negara luar,” ujar Yahya.

Menurutnya, anak muda memang ada yang berminat dengan agama dan ini dapat dilihat menerusi penyertaan golongan itu apabila aktiviti agama diadakan.

“Tetapi jika aktiviti tidak ada, mereka tak datang untuk bersembahyang di masjid,” katanya.

Beliau berkata, belia adalah golongan Islam paling ramai di bandar itu berbanding golongan veteran yang semakin mengecil.

Kegusaran terus melanda apabila ketika sedang menikmati hidangan di Restoran Nazim (satu daripada restoran Islam di sini selain Restoran Bilal), seorang teman membisikkan kisah seorang mualaf berbangsa Laos yang sudah hilang tanpa berita selepas menganut Islam walaupun di peringkat awal, beliau rajin ke masjid.

“Entah Islam lagi ke atau tidak kerana saya difahamkan beliau berkahwin dengan wanita bukan Islam. Tak macam Latiff,” katanya merujuk kepada seorang lagi umat Islam berbangsa Laos, Abdul Latiff Laogentabeung, 46, yang menjadi pemandu “tuk-tuk” kami selama dua hari untuk menyusuri sekitar bandar Vientiane bagi merakam kehidupan rakyat negara itu.

Abdul Latiff mungkin tidak menghadapi masalah mengekalkan keimanannya kerana rumahnya yang berdekatan dengan masyarakat Islam dan masjid di negara itu, apatah lagi berkhawin pula dengan wanita Islam.

Selepas menghayati kisah umat Islam Laos, kami hanya mampu memanjat doa supaya ada gerakan dan negara Islam yang diketuk naluri hatinya oleh Allah untuk memenuhi impian masyarakat di sini yang semakin berpotensi untuk terungkai daripada akarnya.

Hari ini 1 Muharram 1429 Hijriah  bagaimana mereka??????


2 Tanggapan

  1. Desember 2007 Aku ke Viantiane setelah membaca berita ini, seorang saja, dari Hanoi Vietnam dengan Bus, menginap semalam di Hotel Mina, makan di restoran Nazim sebagai mana disebutkan di dalam berita.

    Kedua masjid aku kunjungi. Betul tidak jauh gambaran yang disampaikan oleh rekan dari berita minggu Malaysia.

    Orang
    arab banyak disana , tapi agak kurang percaya memberikan infaq kepada orang-orang Laos.

    Suka

  2. Bertaburan airmata saya bila baca kisah berita ini dan kepada imbalo saya tabik pada anda kerana sanggup ke sana seorang diri.

    Ingin saya hulurkan bantuan tapi tiada sumber kewangan lagi setakat ini. Inysa’allah akan datang.

    Saya harap ada pihak2 yang sanggup membantu mereka buat masa ini.

    Suka

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

%d blogger menyukai ini: